Hari Tidak Berbelanja 16 Julai

Hari Tidak Berbelanja ialah sebahagian daripada program Kempen Konsumer Kebangsaan . Hari Tidak Berbelanja disambut pada 16 Julai.
Pada Hari Tidak Berbelanja ini, para pengguna digalakkan agar tidak membuat sebarang pembelian sepanjang hari. Ini adalah untuk meningkatkan kesedaran pengguna tentang tabiat berbelanja mereka dan memikirkan tentang kepenggunaan secara keseluruhan serta kesannya terhadap budaya serta alam semula jadi.

Hari Tidak Berbelanja merupakan suatu usaha untuk meningkatkan kesedaran tentang isu penggunaan yang berlebih-lebihan dalam kalangan pengguna. 

Matlamatnya bukan satu hari tidak berbelanja ia sebenarnya menggalakkan pengguna membuat pembelian yang lebih berhemat sepanjang 364 hari yang lainnya dalam tahun tersebut.

Hari Tidak Berbelanja tidak bertujuan memboikot atau membantah terhadap mana-mana pihak, tetapi lebih menjurus kepada usaha mendidik para pengguna agar menjadi lebih bijak dalam perbelanjaan harian mereka. Ia berhasrat untuk menyebarkan mesej yang jelas kepada para pengguna bahawa mereka masih dalam menjalani kehidupan dengan sejahtera walaupun tidak perlu berbelanja.

Hari Tidak Berbelanja mampu mendidik para pengguna supaya meminimumkan perbelanjaan supaya mereka lebih menghargai nilai wang yang dibelanjakan setiap hari. Para pengguna akan menilai sama ada wang mereka dibelanjakan dengan sewajarnya atau tidak.

Cara menyambut Hari Tidak Berbelanja?

Ø Bancuh minuman  sendiri pada waktu pagi;

Ø Bawa bekal  makanan tengah hari / snek ke pejabat atau sekolah;

Ø Makan di rumah anda daripada keluar untuk membeli makanan atau memesan makanan dari luar;

Ø Berjalan kaki atau menaiki pengangkutan awam, dan bukannya memandu kereta;

Ø Merancang perjalanan terlebih dahulu untuk mengurangkan pembaziran bahan api;

Ø Meluangkan masa bersama-sama keluarga dan kawan-kawan bermain permainan dalaman / melakukan aktiviti lasak;

Ø Pergi ke perpustakaan untuk meminjam buku-buku;

Ø Membuat satu senarai bahan-bahan mentah yang terdapat di rumah anda yang boleh dikitar semula atau mengubahnya menjadi sesuatu yang baru;

Ø Memasak sesuatu masakan dengan menggunakan bahan-bahan yang sedia ada di rumah anda;

Ø Membuat kad atau hadiah sendiri untuk diberikan kepada insan yang tersayang;

Ø Berkebun;

Ø Tinggalkan semua wang, kad bank dan kad kredit anda di rumah;

Ø Jauhkan diri anda daripada kedai-kedai;

Ø Membuat satu inventori barang-barang yang telah sedia ada di rumah untuk mengelakkan membeli barangan yang sama apabila anda pergi membeli-belah kelak;

Ø Menyebarkan mesej dengan memberitahu kawan-kawan anda di pejabat atau sekolah, tulis di blog anda, menghantar sms atau e-mel kepada mereka;

Ø Membuat pertukaran pakaian dengan kawan-kawan anda. Kumpulkan baju-baju dan kasut-kasut yang tidak anda gunakan lagi di rumah dan menukarkan barang-barang tersebut dengan kawan-kawan anda. Barang-barang yang tidak mahu diambil oleh sesiapa boleh didermakan kepada badan-badan kebajikan;

Ø Menjadi tuan rumah dengan menonton wayang gambar di rumah anda. Anda boleh menonton cerita kegemaran daripada koleksi anda. Sekiranya tetamu yang datang ke rumah anda membawa bersama-sama makanan dari rumah mereka, ini dapat mengelakkan diri anda daripada pergi ke kedai untuk membeli snek.

Ø Cari satu aktiviti percuma yang boleh dilakukan seperti pergi ke muzium, membantu komuniti atau menawarkan diri untuk meluangkan masa bersama orang-orang tua atau anak-anak yatim.

Komen
2 Comments

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *